MENYANTUNI INTEGRASI NASIONAL


Abstract

INTEGRASI nasional adalah agenda yang sangat penting bagi kelestarian kestabilan
politik negara. Untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar, asas pembinaan
negara bangsa Malaysia perlu kukuh dan mampu bertahan.
Era globalisasi atau dunia tanpa sempadan telah menjadikan negara yangberlatarbelakangkan kepelbagaian ini terdedah kepada ancaman pemikiran dan ideologi
yang disalahertikan sebagai anutan masyarakat. Maka ini akan menggugat nilai-nilai
integrasi yang telah wujud secara harmoni.
Justeru memahami integrasi nasional adalah sangat relevan kerana mengenal pasti
masalah dan cabaran semasa menjadi input kepada dasar awam yang dilaksanakan pada
masa akan datang. Bagi sebuah negara seperti Malaysia, mempunyai komposisi kaum
yang berbeza seperti Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak,
adalah satu cabaran yang sangat besar.
Tanpa dasar integrasi yang tepat dan sesuai pasti akan memberikan kesan yang besar
kepada pemba ngunan negara. Program dan projek pembangunan akan sukar dilaksana -
kan apabila masa, tenaga dan kos terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan konflik
dalaman negara.
Pada hari ini, usaha dalam merealisasikan integrasi semakin mencabar. Hal ini disebabkan
oleh permintaan yang tinggi dalam persoalan hak sering kedengaran atas nama
demokrasi. Hak yang sering dilaungkan banyak menyentuh prinsip-prinsip kesamarataan
dan kebebasan sivil bagi setiap individu dalam sebuah negara. Malah suara-suara ini
menginginkan kebebasan mutlak bagi ruang kehidupan mereka di negara ini.
Walaupun begitu, liberalisasi dalam kehidupan sebuah negara yang demokrasi adalah
agak mustahil jika bersifat absolute freedom atau kebebasan mutlak. Di samping itu,
demokrasi yang bersifat liberal seperti di Barat sangat bercanggah dengan nilai dan norma
masyarakat Malaysia. Selain itu, ciri kepelbagai an dalam kalangan rakyat negara ini adalah
aset dan elemen unik yang perlu dipelihara.
Jika kita melihat perbezaan itu sebagai sesuatu yang berharga, sudah pasti setiap anggota
masyarakat akan bersama-sama mempertahankan nilai tersebut.
Dalam pada itu, masalah integrasi yang timbul berpunca daripada tiada justifikasi yang
jelas tentang hak-hak tertentu dan menimbulkan perasaan ketidakadilan dan prejudis.
Maka permasalahan utama ialah bagaimana pelaksanaan integrasi nasional dapat dicapai
di samping memenuhi kehendak dan permintaan semua kaum atas dasar demokrasi.
Ironinya, Malaysia mempunyai limitasi atau had tertentu dalam Perlembagaan yang
melindungi kaum dan kepentingan tertentu. Namun pada masa yang sama tidak
menafikan hak kaum lain sebagai rakyat di negara ini. Justeru formula toleransi yang
diamalkan selepas merdeka sehingga ke hari ini tidak akan berkesan jika wujud golong an
ekstremis yang terlalu taksub dalam memperjuangkan hak-hak kaum tertentu.
Dalam isu ini, permasalahan tersebut perlu dikupas dalam konteks demokrasi
sebagaimana merujuk kepada cabaran dalam menjayakan pelaksanaan dasar integrasi
nasional. Demokrasi sering digambarkan sebagai sistem politik yang terdapat di negaranegara
barat.
Demokrasi juga bermaksud kebebasan dari sudut kesamarataan dan hak yang juga
menjadi asas kepada sistem demokrasi sesebuah negara. Namun elemen kebebasan
tersebut harus mengikut acuan, nilai dan prinsip sesebuah negara itu sendiri. Oleh itu
demokrasi boleh difahami dengan empat ciri utama. Pertama, kesamarataan; kedua, hak
kebebasan; ketiga, kuasa dari rakyat (pilihanraya) dan keempat, pematuhan undangundang.
Berdasarkan ciri-ciri tersebut, demokrasi mengangkat hak kebebasan setiap individu tetapiia masih mempunyai limitasi bagi kebebasan tersebut. Kebebasan yang diperoleh harus
dibatasi dengan undang-undang bagi menjamin keamanan negara agar pembangunan
dapat diteruskan.
Kehidupan yang harmoni mampu memberikan suasana yang selamat dan dapat
menghindarkan konflik. Hal ini dapat direalisasikan jika ruang demokrasi yang diberikan
itu digunakan dengan cara berhemah dan berorientasikan kecintaan kepada negara.
Dalam pada itu, kebebasan bersuara seharusnya digunakan dengan secermat mungkin
bagi mengelakkan salah faham dan menyentuh perkara-perkara sensitif kaum-kaum lain.
Di samping itu, keharmonian kaum bagi sesebuah negara yang masyarakatnya bersifat
plural harus bermula dengan sikap hormat-menghormati dengan memahami budaya dan
nilai antara satu sama lain.
Justeru, apa yang telah berlaku semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969, Kampung Medan 2001
dan rusuhan di Plaza Low Yat 2015 jelas menggambarkan betapa rapuhnya perpaduan
dalam kalangan masyarakat negara ini walaupun kita telah hidup bersama selama 52
tahun selepas pembentukan Malaysia.
Dalam usaha mengejar kemajuan, penanda arasnya sering meru juk kepada pembangunan
ekonomi. Namun pembangunan tersebut tidak akan tercapai jika kestabilan politik masih
lagi tidak berada di tahap yang baik. Perpaduan atau integrasi nasional merupakan
prasyarat kepada kemajuan sesuatu tamadun.
Keretakan masyarakat hanya akan membawa risiko yang lebih besar kepada negara.
Dalam pada itu juga, sesebuah negara harus mengutamakan kekuatan negara bangsa jika
ingin mencapai kemakmuran ekonomi pada masa akan datang dan bertahan lebih lama.
Hal ini kerana pembangunan yang mampan hanya mampu dicapai melalui nilai
kepelbagaian yang dikompromi tanpa prejudis.
Oleh itu, bagi sebuah negara yang berkomposisikan pelbagai kaum, pendemokrasian yang
me nunjangi sistem politik dan kerajaan harus disantuni dengan bijak. Hanya dengan
toleransi tahap tinggi dalam kalangan masyarakat yang akan membawa negara ini maju ke
hadapan di samping terus bertahan dalam cabaran dunia tanpa sempadan pada hari ini.
PENULIS berkhidmat di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

[thumbnail of PB2015066467.pdf] Text
PB2015066467.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.

Click to Download (461kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Utusan Malaysia
Date: 13 November 2015
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Edit Item Record
Edit Item Record