Abstract
PEGAWAI Kastam Diraja Malaysia Wan Azlinda Wan Osman menunjukkan perbezaan resit pembelian isian semula kad telefon prabayar dari dua syarikat telekomunikasi yang berbeza ketika meninjau pelaksanaan GST di Kangar, Perlis pada 1 April lalu.
Di sana sini ramai orang sibuk membincangkan tentang pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST). Maklumlah sebagai sistem percukaian yang baharu sudah tentu ramai yang panik, risau malah marah dek kerenah dan tipu helah peniaga di peringkat awal operasi dan pelaksanaannya.
Masalah yang berlaku ini sebenarnya adalah perkara biasa bagi mana-mana sistem baharu sebelum operasinya berjalan lancar selepas itu.
Dalam isu GST ini, masalah operasinya boleh diatasi dan orang ramai boleh meminta penjelasan dan menyampaikan aduan sekiranya terdapat kekeliruan.
Namun persoalannya sekarang ramai yang keliru dengan taktik peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati sehingga akhbar pun dikenakan GST. Kedai makan berskala kecil pun turut menaikkan harga barang di hampir semua tempat terutama di kawasan bandar.
Tinjauan penulis mendapati beberapa peniaga dengan berani menaikkan harga dengan alasan kerana barangan jualannya dikenakan GST. Sedangkan sesetengah barang berkenaan tidak pun dikenakan GST.
Malah peniaga dengan berani mencetak dalam resit bayaran GST 6% tetapi tiada nombor rujukan GST yang sahih. Banyak lagi taktik peniaga yang mengaut untung atas nama GST walaupun tidak mendaftar di bawah GST.
Justeru, ramai yang membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana tidak berpuas hati. Namun kebanyakan peniaga apabila ditanya kenapa menaikkan harga barang walaupun tiada nombor pengenalan (ID) dan pendaftaran GST memberi jawapan : “ikut arahan bos”, “saya tak tahu”, “saya pekerja sahaja”.
Terdapat juga peniaga yang menyalahkan pihak berwajib kerana tidak meluluskan permohonan, tidak sempat memberi sistem resit bercetak rasmi GST dan pelbagai alasan lagi.
Ternyata di sini, isu GST bukannya persoalan sistem berkenaan, namun lebih kepada persoalan pelaksanaan dan pemantauan. Di peringkat awal pelaksanaan sememangnya agak kalut dengan kurangnya kakitangan KPDNKK untuk membuat pemantauan.
Banyak juga kekalutan yang berlaku di beberapa buah negara ketika mula melaksanakan GST. Contohnya apabila GST diperkenalkan di Australia pada kadar 10 peratus mulai 1 Julai 2000, memang banyak rungutan orang ramai disebabkan mereka kurang faham konsep pelaksanaannya hingga menyebabkan timbul pelbagai persepsi dan tanggapan.
Di peringkat awal pelaksanaannya di sana, badan khas yang mengendalikan hal itu, Persaingan dan Suruhanjaya Pengguna Australia (ACCC) menerima lebih 60,000 aduan yang dihantar melalui talian serta aduan lisan pengguna.
Aduan itu kemudiannya semakin menurun dan selepas enam bulan, kadar graf aduan semakin statik, sekaligus membuktikan rakyat atau pengguna boleh menerima dan mula memahami konsepnya.
Di Malaysia situasi yang sama berlaku apabila GST diperkenalkan pada kadar enam peratus pada 1 April lalu. Pelaksanaan GST di Malaysia menyaksikan kira-kira 23,871 pengguna merujuk aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST bagi membuat perbandingan harga.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, penggunaan aplikasi berkenaan menunjukkan rakyat memberi perhatian terhadap pelaksanaan GST. Daripada jumlah tersebut, dalam lingkungan harga berpatutan ada 4,513 aduan, di luar julat 8,618 aduan dan tiada dalam rekod pula sebanyak 10,742 aduan.
Sebagai pengguna mereka mengharap agar setiap aduan perlu diuruskan dan diambil tindakan segera. Jangan ada toleransi.
Peniaga yang memang melanggar peraturan GST dan menyalahi undang-undang perlu didenda dan didedahkan dalam media supaya menjadi pengajaran kepada peniaga lain agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan menipu atas nama GST.
KPNKK dan pihak berwajib perlu mencontohi pelaksanaan Sijil Halal. Contohnya, peniaga yang telah mendaftar di bawah GST perlu mempamerkan sijilnya di premis perniagaan berserta dengan nombor pendaftaran atau pengenalan GST. Bermakna premis yang tidak meletakkan sijil berkenaan secara automatik tidak berdaftar dan pengguna mudah mengenalinya.
Hakikatnya, memang sudah tiba masa Malaysia melakukan pembaharuan kerana sejak GST mula dilaksanakan di Perancis sejak tahun 1950-an sehingga Disember 2014, sebanyak 169 negara daripada 193 negara seluruh dunia sudah melaksanakannya.
Dalam kalangan tujuh negara Asia Tenggara, hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei saja yang belum memulakan GST. Indonesia melaksanakan GST pada 1984, diikuti Thailand (1992); Singapura (1993); Filipina (1998); Laos (1999); Vietnam (1999) dan Kemboja (2009).
Jelas di sini GST memberi manfaat kepada pembangunan negara. Melalui GST Malaysia akan dipacu ekonominya dan akan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Namun yang lebih penting di peringkat awal pelaksanaannya, penerangan, pemantauan dan penyelarasannya perlu ditambah baik demi kelestarian eknonomi negara.
PB2015064255.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.
Click to Download (222kB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Subjects: | Business |
Campuses: | Kelantan Kelantan > Kota Bharu Campus |
Newspaper: | Utusan Malaysia |
Date: | 7 April 2015 |
Depositing User: | Aida Mustapha (Kota Bharu) |
Related URLs: |