Abstract
PEMBENTANGAN Bajet 2016 memberi nafas lega kepada pengguna telefon bimbit khususnya pengguna perkhidmatan prabayar. Keputusan kerajaan menawarkan rebat bagi jumlah yang dibayar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk perkhidmatan telefon mudah alih prabayar berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2016, amat dialu-alukan.
Rebat bagi pengguna telefon kad prabayar diumumkan dalam Bajet 2016 hanya akan beri manfaat kepada rakyat tempatan dan tidak membabitkan warga asing. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak, berkata kerajaan tidak memberi subsidi bagi caj telefon bimbit kepada bukan warganegara.
Keputusan beri rebat kepada pengguna kad prabayar menunjukkan kerajaan mendengar kebimbangan dan permintaan rakyat. Malah rebat ini, adalah tanggungjawab bersama yang dibayar oleh kerajaan dan syarikat telekomunikasi untuk rakyat.
Kira-kira 33 juta pengguna perkhidmatan kad prabayar di negara ini, menjadikannya sehingga 80 peratus jumlah pengguna telefon bimbit. Daripada jumlah itu, dianggarkan lima juta dipercayai pengguna warga asing.
Bagaimanapun kad prabayar masih tertakluk kepada GST tetapi pengguna akan mendapat rebat dan dapat menggunakan masa bercakap bersamaan dengan jumlah yang dibayar. Sebagai contoh, sekiranya pengguna membayar RM10, masa bercakap bernilai 60 sen dikreditkan ke dalam akaun.
Usaha ini juga selaras dengan peningkatan kelajuan internet luar bandar yang akan ditambah kelajuan lima kali ganda daripada lima Mbps kepada 20 Mbps yang akan juga dinikmati pengguna prabayar. Pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan jumlah GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka.
Menurut Indeks Belia Malaysia 2015, skor indeks keseluruhan bagi domain penggunaan media ialah 73.59, memberi gambaran bahawa, belia Malaysia membabitkan diri secara sederhana dalam menggunakan telefon bimbit, menonton televisyen, mendengar radio, mengguna komputer, melayari internet dan membaca surat khabar/buku (selain buku pelajaran)/majalah.
Hasil kajian mendapati masa untuk menggunakan telefon bimbit paling tinggi berbanding media lain iaitu selama 5 hingga 6 jam sehari dan diikuti dengan melayari internet selama 3 hingga 4 jam sehari.
Bagi penggunaan komputer dan menonton televisyen mengambil masa 2 hingga 3 jam. Indeks mendapati mendengar radio, membaca buku (selain buku pelajaran) dan surat khabar memperuntukkan masa 1 hingga 2 jam sehari. Bagi membaca majalah paling rendah tempoh penggunaannya 1 jam sahaja. Ini menunjukkan skor belia Malaysia bagi domain penggunaan media khususnya penggunaan telefon bimbit lebih tinggi secara relatif.
Pelihara kebajikan pengguna
Oleh itu, bajet ini perlu disokong kerana keputusan kerajaan berhubung layanan GST ke atas kad prabayar mudah alih demi memelihara kebajikan pengguna. Rebat ini juga menggembirakan pengguna muda khususnya golongan belia, pelajar sekolah dan pusat penggajian tinggi serta mereka yang baru memulakan kerjaya dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Sebenarnya isu mengenai pengguna perkhidmatan kad prabayar terpaksa membayar GST pada peringkat awal pelaksanaannya, telah menimbulkan ketidakpuasan hati khususnya golongan anak muda. Walaupun pelaksanaan harga asal kad prabayar mustahil dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi perlu membuat konfigurasi terhadap sistem dan perisian komputer di seluruh negara.
Syarikat telekomunikasi mengenakan caj enam peratus GST pada kad tambah nilai prabayar berkuat kuasa serta-merta sejak 1 Mei 2015. Cuma, pelanggan akan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar nilai melebihi cukai enam peratus.
Begitu juga bayaran kad prabayar ini turut membabitkan pembayaran melalui bank serta pembayaran secara elektronik selain ia membabitkan 30,000 ejen seluruh negara dan perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia lancar.
Pengumuman Bajet 2016 ini menjadi titik tolak mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan perkhidmatan prabayar. Harapan kita supaya syarikat telekomunikasi mencari jalan terbaik agar wujud keadaan 'menang-menang' di antara kerajaan, syarikat pelaksana dan pengguna.
Perbincangan dan pelaksanaan secara kolektif serta berkesan mengenai mekanisme pelaksanaannya dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi-media Malaysia (SKMM) sudah tentu memberi manfaat kepada pengguna perkhidmatan prabayar.
PB2015064254.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.
Click to Download (131kB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Subjects: | Corporate Governance |
Campuses: | Kelantan Kelantan > Kota Bharu Campus |
Newspaper: | Berita Harian |
Date: | 11 November 2015 |
Depositing User: | Aida Mustapha (Kota Bharu) |
Related URLs: |