Kerajaan ambil kira keresahan rakyat isu TPPA


Abstract

Kebimbangan dan sensitiviti rakyat terhadap Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mempunyai asas tersendiri. Namun, Malaysia bukannya mengabaikan setiap keresahan dan ketakutan terhadap TPPA. Malah setiap pandangan dan juga buah fikiran rakyat, akan dipertimbangkan dan dibahas di Parlimen sebelum sebarang persetujuan ditandatangani.

Kedengaran persepsi dan salah tanggapan mengatakan bahawa dengan menyertai TPPA, Malaysia akan menjadi boneka Amerika Syarikat (AS). Beberapa isu juga ditimbulkan kerana TPPA sebahagian agenda kuasai dunia seolah-olah akan wujud agenda kuasa besar atau New World Orde untuk memaksa negara lain menerima sistem 'satu dunia, satu kerajaan'.

Tohmahan juga terus diasak dengan mengatakan TPPA adalah agenda AS untuk mengurangkan pengaruh China di Asia. Malah menurut pandangan ini, sekiranya Malaysia menandatangani TPPA, hubungan dua hala Malaysia-China akan terjejas.

TPPA juga dianggap sebagai perdagangan yang tertakluk kepada semua jenis peraturan, malah risiko disaman di mahkamah antarabangsa serta menjejaskan pegangan moral dan agama. Keresahan terhadap TPPA juga berkait rapat isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

DISYORKAN UNTUK ANDA
Apabila penulis mendengar sesi dialog baru-baru ini, beberapa rasionalisasi perlu dipertimbangkan dan Malaysia perlu terus bersaing untuk berdepan corak ekonomi dunia yang melaksanakan dasar keterbukaan. Dakwaan harga ubat akan naik mendadak sekiranya Malaysia menandatangani TPPA telah pun dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang memberi jaminan tiada bebanan membabitkan bayaran ubat dikenakan ke atas pesakit.

Begitu juga dakwaan kontrak untuk Bumiputera dan program vendor PETRONAS yang mungkin terjejas, sudah terjawab. Hakikatnya, kerajaan sudah memasukkan isu pengecualian atau 'carve out' dalam proses rundingan TPPA bagi melindungi kepentingan kontraktor Melayu dan Bumiputera.
Rundingan TPPA terdiri daripada AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Malaysia dan Vietnam. TPPA bermula sebagai Pacific-4 (P4) pada tahun 2005 dengan penyertaan Brunei, Chile, Singapura dan New Zealand. Pada tahun 2008 AS, Australia, Peru dan Vietnam menyertainya diikuti Malaysia pada tahun 2010. Pada tahun 2012 Mexico dan Kanada ikut serta dan dikuatkan lagi dengan penyertaan Jepun pada 2013.

Dua belas negara yang terbabit dalam rundingan ini mempunyai 800 juta penduduk dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$27.5 trilion. Satu perjanjian komprehensif mencakupi elemen baharu seperti buruh, alam sekitar, syarikat milik kerajaan, perolehan kerajaan dan hak harta intelek diperhalusi.

Melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), setiap ahli kepada perjanjian itu memberi layanan yang lebih baik kepada negara masing-masing berbanding negara bukan ahli. Contohnya, perjanjian di antara Malaysia dan Australia pada Januari 2013, Australia memansuhkan 100 peratus tarif import ke atas barangan Malaysia. Begitu juga FTA di antara Malaysia - Turki 2015 menguntungkan kita apabila Turki mengurangkan duti import 30 peratus ke atas minyak sawit mentah dan produk sawit Malaysia.

Dalam usaha mendalami rundingan ini, sudah tentu Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar teras yang dimulakan kerajaan untuk rakyat. Isu hak harta intelek misalnya, Malaysia tegas bahawa TPPA tidak seharusnya menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik. Pada masa sama, memastikan insentif yang perlu untuk pencipta farmaseutikal menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Mengenai akses pasaran, elemen asas dalam mana-mana FTA, Malaysia merumuskan rundingan dengan semua pihak, duti import bagi hampir semua produk akan dihapuskan. Pada dasarnya, hasil TPPA akan menyediakan peluang akses pasaran yang lebih besar bagi syarikat Malaysia, terutama di pasaran seperti AS, Kanada, Mexico dan Peru yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA.

Kelebihan daya saing

Pengeksport Malaysia mendapat kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau dalam mengeksport produk dari sektor elektrik dan elektronik, bahan kimia, barangan minyak sawit, keluaran getah, barangan kayu, tekstil dan juga bahagian dan komponen automotif. Semua ini adalah eksport utama bagi Malaysia dan menjana sejumlah besar pendapatan bagi ekonomi negara.

Ternyata Malaysia membuat transformasi ekonomi dalam era persaingan global masa kini. Jika Malaysia menyertai TPPA, duti import lebih rendah. Pasaran tanpa duti import di empat negara di mana Malaysia masih belum mempunyai FTA iaitu Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat. Pada masa sama, Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai 'high value added manufacturing' dan destini pelaburan berkualiti.

Seandainya Malaysia tidak menyertai TPPA, Malaysia tidak akan dapat turut sama dalam merangka perjanjian itu, terutama dalam menjaga dan mengambil kira kepentingan dan kebimbangan negara kita khususnya berkaitan dengan kepentingan penduduknya. Malah, lebih teruk lagi sekiranya Malaysia hanya menyertai kemudian, kita terpaksa menerima segala kandungan perjanjian yang telah ditetapkan tanpa ada hak bersuara dan hak untuk diperjuangkan.

[thumbnail of PB2015064239.pdf] Text
PB2015064239.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Click to Download (252kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: Business
Campuses: Kelantan
Kelantan > Machang Campus
Newspaper: Berita Harian
Date: 10 October 2015
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Languages: Malay
Edit Item Record
Edit Item Record