Abstract
KOTA SAMARAHAN: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-99 UiTM Cawangan Sarawak mencatat sejarah tersendiri apabila menyaksikan 328 graduan menerima Anugerah Naib Canselor (ANC).
Ini sekali gus merupakan jumlah penerima ANC yang paling ramai dicatatkan sejak istiadat konvokesyen bermula pada 2010 di kampus cawangan ini.
Seramai 272 daripada jumlah penerima ANC merupakan graduan peringkat diploma manakala 56 lagi graduan di peringkat ijazah sarjana muda.
Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-99 UiTM Cawangan Sarawak berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Oktober 2024 dengan enam sidang melibatkan kira-kira 1,705 graduan secara keseluruhan.
Pro-Canselor UiTM Cawangan Sarawak Datuk Abdul Wahab Aziz ketika berucap merasmikan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-99, UiTM Cawangan Sarawak di sini, semalam berkata sejajar dengan visinya ke arah menjadi sebuah gedung ilmu yang bertaraf global, universiti itu sentiasa komited melahirkan graduan cemerlang dalam pelbagai aspek.
"Dalam konteks ini, UiTM memberikan sepenuh tumpuan kepada pencapaian akademik, kemahiran profesional serta pemikiran kreatif, seiring dengan perkembangan dunia.
"Bagi tujuan tersebut, beberapa perjanjian persefahaman bersama rakan strategik telah dipergiatkan. Misalnya, bersama Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kedutaan Turki, dan Kedutaan Kanada.
"Kerjasama ini berperanan sebagai platform anjakan transformasi ke arah kelestarian ilmu yang relevan dan bermanfaat," katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak di sini.
Abdul Wahab berkata pada sidang pertama itu, penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 303 graduan daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.
Menurutnya statistik menujukkan 90 peratus iaitu 275 graduan fakulti itu telah menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.
"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada para graduan yang telah bertungkus-lumus berusaha menamatkan pengajian dan bakal menyumbang kepakaran untuk masa depan negara yang tercinta.
"Kepada ibu bapa dan keluarga, saya yakin tiada kepuasan yang lebih indah selain daripada melihat kejayaan anak-anak.
“Sekalung penghargaan buat para pensyarah, pentadbiran universiti yang turut sama berganding bahu dalam melahirkan generasi berilmu," katanya.
Beliau berkata berdasarkan indeks kebolehpasaran, graduan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi mencapai hampir 90 peratus.
Ini mencerminkan bidang-bidang pengajian ini masih kekal relevan sebagai penyumbang, pembina dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sejagat, tambahnya.
Pada majlis itu juga Izrie Hasfiezul Hashim, graduan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian polisi diumumkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT) Khas Yayasan Sarawak Peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Beliau merupakan antara enam orang graduan yang menerima AGT dalam lapan kategori yang berbeza.
Hadir sama pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-99, UiTM Cawangan Sarawak, Ahli Lembaga Pengarah Universiti UiTM Datuk Ariff Farhan Doss, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Profesor Madya Dr Saimi Bujang, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Profesor Madya Dr Juferi Idris, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2 Profesor Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir, Penolong Rektor Kampus Mukah Dr Abdul Jabbar Abdullah serta ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Sarawak.
![[thumbnail of 16498.pdf]](/style/images/fileicons/text.png)
16498.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.
Click to Download (468kB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Uncontrolled Keywords: | Anugerah Naib Canselor (ANC) |
Subjects: | Corporate Governance |
Campuses: | Sarawak > Samarahan 2 Campus |
Divisions: | Administrative Office > Communications Department |
Newspaper: | Utusan Borneo |
Page Range: | pp. 1-3 |
Date: | 15 October 2024 |
Depositing User: | Dominic (Samarahan) |