UiTM, Jabatan Peguam Negara jalin kerjasama pendidikan undang-undang


Abstract

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) julung kali menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam bidang pendidikan undang-undang, latihan profesional dan penyelidikan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan keazaman untuk terus memperkasakan pendidikan dan latihan undang-undang di Malaysia.

Katanya, MoU itu juga sebagai simbolik kepada hubungan baik antara kedua-dua belah pihak.

"Hari ini, kita menyaksikan satu lagi langkah penting melalui hubungan strategik antara UiTM dan AGC dan saya pasti, kerjasama yang terjalin ini, pasti akan memberikan impak besar kepada kedua-dua pihak.

"MoU ini membolehkan pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM diberi keutamaan untuk menjalani latihan industri di AGC, yang bakal memberikan mereka pengalaman praktikal di dalam badan penasihat undang-undang utama Malaysia, seterusnya mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam bidang undang-undang," katanya selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di Dewan Canseleri UiTM Shah Alam di sini hari ini.

MoU itu dimeterai Shahrin dan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mewakili AGC.

Shahrin menjelaskan melalui MoU ini juga membuka peluang ahli akademik UiTM untuk menjalani tempoh sabatikal di AGC, yang akan memperluas pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.

"Graduan undang-undang terbaik UiTM juga berpeluang dipertimbangkan untuk direkrut di bawah Program 'Green Harvest', satu inisiatif yang berprestij untuk menarik individu cemerlang dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Malaysia," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan melalui MoU itu, bakal membina landasan bagi pelbagai aktiviti akademik bersama seperti penyelidikan, persidangan, dan kursus jangka pendek, yang akan menggalakkan pertukaran kepakaran antara UiTM dan AGC.

"Kedua-dua institusi ini juga akan berkongsi kemudahan penyelidikan dan sumber akademik bagi memperkukuhkan ilmu undang-undang, dengan jaminan bahawa maklumat sensitif akan dilindungi.

"Satu lagi aspek penting dalam perjanjian ini, pegawai undang-undang AGC yang memenuhi kriteria boleh diiktiraf sebagai Profesor Adjung di UiTM, menunjukkan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan sumbangan mereka dalam profesion undang-undang," katanya.

Di samping itu, katanya, MoU ini membuka jalan kepada usaha sama dalam membangunkan teknologi undang-undang yang bakal memodenkan penyampaian perkhidmatan undang-undang di Malaysia dan memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti akademik dan perundangan.

"MoU ini bukan sekadar perjanjian formal, tetapi sebagai langkah penting ke arah memperkukuh hubungan antara pendidikan undang-undang dan amalan perundangan.

"Ini bagi memastikan pelajar dan profesional lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam landskap perundangan yang semakin berkembang.

" Ia adalah satu pencapaian besar dalam usaha memajukan pendidikan undang-undang dan pembangunan profesional di Malaysia," katanya.

[thumbnail of 15662.pdf] Text
15662.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.

Click to Download (297kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences > 340 Law
Campuses: Shah Alam
Newspaper: Berita Harian
Date: 30 October 2024
Depositing User: Jaz Norfazuna Jaafar
Edit Item Record
Edit Item Record