UiTM tubuh Jabatan Adiwangsa perkukuh peranan dalam Perkara 153


Abstract

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif baharu mengukuhkan peranannya dalam pemerkasaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dengan menubuhkan Jabatan Adiwangsa.

Universiti itu dalam kenyataannya berkata, ia merupakan langkah signifikan dalam memperkasakan misi asal penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi khusus untuk kaum Melayu dan Bumiputera.

“Pelancaran itu bertepatan dengan keperluan semasa, memastikan pengantaran ilmu yang relevan dan berkesan.

“Ia membawa bersama nilai-nilai utama seperti Usaha, Taqwa, dan Mulia. Jabatan ini dibentuk berasaskan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153, serta nilai-nilai yang dipegang dalam Rukun Negara dan DNA UiTM,” katanya, semalam.

Tambahnya, penghormatan terhadap institusi beraja juga menjadi salah satu teras utama dalam pembentukan jabatan tersebut, memperlihatkan komitmen university itu untuk menjaga dan memperkukuh warisan budaya, agama, bangsa Melayu dan bumiputera.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Penolong Naib Canselor Pemerkasaan Adiwangsa, Prof. Dr. Amer Shakir Zainol memaklumkan, penubuhan Jabatan Adiwangsa menyelaras semula empat unit berkaitan Islam, Melayu dan bumiputera termasuk Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM).

Menurutnya, penyelarasan tersebut termasuklah penstrukturan semula kursi tersebut melihatkan lima peringkat iaitu naib canselor, penolong naib canselor, pengarah atau penyandang dan ketua pentadbir.

Dalam pada itu, UiTM dalam kenyataan sama memaklumkan penubuhan Jabatan Adiwangsa mempercepat usaha UiTM persiapkan jati diri mahasiswa dan warga ke arah penghayatan Melayu, Islam dan institusi beraja.

“Penggabungan empat organisasi yang terdiri daripada Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Bahagian Hal Ehwal Islam, Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah (Zawaf) dan KIRRM akan menumpukan segenap kekuatan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten di dalam industri, malah tegak menjunjung prinsip Melayu, Islam dan beraja.

“UiTM akan terus memberikan peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar untuk mengubah kehidupan keluarga dengan menawarkan sejumlah 522 program akademik di 34 buah kampus di seluruh negara sebagai kesinambungan usaha memperbaiki ketidakseimbangan landskap sosio-ekonomi masyarakat khususnya Melayu dan bumiputera,” ujarnya.

Tambahnya, Jabatan Adiwangsa bertekad untuk memacu masa depan negara dengan pendidikan yang berkualiti dan relevan, sambil memastikan warisan budaya dan nilai-nilai murni bangsa terus terpelihara. – UTUSAN

[thumbnail of 14246.pdf] Text
14246.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.

Click to Download (387kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences > 340 Law
300 Social sciences > 370 Education > Higher education
Campuses: Shah Alam
Newspaper: Utusan Malaysia
Date: 26 June 2024
Depositing User: Jaz Norfazuna Jaafar
Edit Item Record
Edit Item Record