Menambah Kuasa Mahkamah Syariah


Abstract

PADA 26 Mei lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984). Tujuannya bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang terhad iaitu denda RM5,000 sahaja, atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa yang lebih mengikut syariah kecuali hukuman bunuh.
Tuntutan kepada pindaan Akta 355 ini bukanlah perkara baru. Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim semasa hayatnya telah menyuarakan perkara sama. Di semua seminar berkaitan, lazimnya resolusi menuntut agar kerajaan meminda Akta 355. Bahkan dalam kajian dan penulisan akademik menuntut perkara sama.
Jadi kenapakah usul Hadi ini membawa kepada polemik? Pertama, pembentangan usul persendirian oleh ahli Parlimen pembangkang julung kalinya berlaku dalam sejarah Malaysia. Kedua, rang undang-undang yang dibentangkan adalah pindaan kepada statut negara yang lazimnya dimajukan oleh pihak kerajaan. Ketiga, pindaan ini penting untuk pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Pindaan 2015 (Enakmen 2015) kecuali hukuman bunuh.
Jika diimbau tuntutan melaksanakan undang-undang jenayah syariah sepenuhnya dibuat pada 1993 apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 pada 25 November 1993.
Setelah hampir 23 tahun berlalu, Enakman 1993 masih belum dapat dikuatkuasakan di Kelantan lantaran beberapa perkara pokok antaranya:
* Enakmen itu jelas mengambil peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti hukuman mati dan kecederaan fizikal.
* Tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Mahkamah Syariah Khas akan ‘memasuki’ bidang kuasa mahkamah sivil seperti menjatuhkan hukuman mati.
* Berlawanan dengan bidang kuasa mahkamah syariah seperti diperuntukkan dalam Akta 355 iaitu menjatuhkan hukuman setakat denda RM5000, atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali.
Sering berlaku kekhilafan umum bahawa hanya hukuman hudud undang-undang jenayah Syariah Islam. Justeru, lantang kedengaran menuntut pelaksanaan hudud dengan meninggalkan tuntutan yang sama signifikannya iaitu qisas dan takzir.
Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah menuntut pertimbangan mendalam terutama tuntutan realiti semasa. Undang-undang ini tidak boleh dilaksanakan tanpa sokongan Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat pula berdepan tentangan parti komponen.
2
Pelaksanaannya menuntut kebijaksanaan. Kekangan politik yang memerlukan sokongan bukan Islam selaku 40% penduduk Malaysia perlu diambil kira. Walaupun hukuman tidak membezakan warna kulit dan agama namun mengambil konsep realiti semasa, Awlawiyyat (keutamaan) dan Siyyasah Syar’iyyah, buat permulaan hukuman yang bersifat kesalahan moral seperti zina, liwat dan musahaqah seperti diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri hanya boleh dikenakan ke atas orang Islam.
Kita terpaksa mengecualikan orang bukan Islam walaupun ada pandangan bahawa ini bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dari aspek kesamarataan undang-undang (equality before law).
Dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah ini, falsafah dan kefahaman mengenainya perlu didedahkan melalui pendidikan dan dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam sejak di bangku sekolah. Prasarana perlu disiapkan terlebih dahulu supaya perjalanannya aman dan lancar.
Alhamdulillah Jawatankuasa Teknikal telah ditubuhkan. Pertimbangan pindaan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri-negeri yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri perlu dihalusi.
Di samping bidang kuasa dalam perkara sivil, Parlimen melalui Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kesalahan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah syariah hanya ke atas orang Islam dan terhad kepada kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bidang kuasa jenayah Islam yang begitu terhad, meliputi enam kategori iaitu kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat suami; kesalahan seks seperti zina, khalwat dan melacur; kesalahan berhubung minuman keras seperti menjual dan membeli arak; kesalahan sebagai seorang Islam seperti tidak solat Jumaat bagi lelaki, keengganan membayar zakat dan fitrah, dan tidak menghormati Ramadan dengan tidak berpuasa; dan kesalahan tidak melaporkan dan mendaftar masuk atau keluar dari agama Islam.
Terdapat pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk dalam kategori di atas antaranya jenayah mencuri, merompak, merogol dan membunuh. Peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan bidang kuasa dianugerahkan kepada mahkamah awam.
Membincangkan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia mesti meliputi undang-undang hudud, qisas (termasuk di dalamnya diyat) dan takzir.
Dalam konteks undang-undang jenayah Islam yang sedang terpakai di Malaysia, kebanyakan kesalahan hudud sudah termaktub dalam undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri. Dari segi beban pembuktian sudah mengguna pakai kriteria undang-undang hudud.
Kalau pun hukuman mati tidak dapat dilaksanakan di mahkamah syariah, sebatan 100 kali boleh dilaksanakan seandainya bidang kuasa mahkamah ini dipertingkatkan. Hukuman ini
3
juga tidak meliputi orang bukan Islam kerana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas mereka.
Adapun bagi kesalahan yang membawa hukuman bunuh di bawah qisas seperti mematikan orang dengan sengaja, mencederakan orang dan memerangi Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Kanun Keseksaan; dan hukuman bunuh di bawah kate-gori hudud seperti mencuri dan merompak hendaklah kekal di bawah Kanun Keseksaan.
Sesungguhnya pindaan Akta 355 bukan sekadar melaksanakan Enakmen 2015 di Kelantan. Lebih daripada itu tujuannya meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah seluruh negara yang se-kian lama ‘dianaktirikan’.
Pindaan Akta 355 tidak mengambil bidang kuasa mahkamah sivil mahupun hak orang bukan Islam. Ia juga tidak memungkinkan undang-undang jenayah syariah dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana masih tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

[thumbnail of PB2016082382.pdf] Text
PB2016082382.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Click to Download (228kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
300 Social sciences > 340 Law
300 Social sciences > 340 Law > 341 Law of nations
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Utusan Malaysia
Date: 3 June 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Languages: Malay
Edit Item Record
Edit Item Record