Institusi Semak dan Imbang Negara


Abstract

SETIAP tahun, Sabtu pertama bulan Jun, negara kita menyambut ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dipilih oleh sembilan raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong sekarang, iaitu yang ke-14 pada Oktober 2011 dan menaiki takhta pada 13 Disember 2011. Tempoh lima tahun Tuanku Abdul Halim menduduki takhta jawatan itu akan tamat pada Disember tahun ini.
Kesultanan di Tanah Melayu sangat signifikan bagi rakyat Malaysia sebagai satu institusi yang disanjung tinggi dan memainkan peranan besar dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Raja-raja Melayu bukanlah satu institusi yang hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp, sebaliknya adalah satu badan yang ditubuhkan oleh pembuat Perlembagaan sebagai nilai tambah kepada tiga cabang badan pembahagian kuasa iaitu, eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Majlis Raja-raja (MRR) berperanan sebagai ‘juruaudit’ tambahan dari segi Perlembagaan. Buktinya dalam Laporan Suruhanjaya Reid, kewujudan MRR disebut sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung hak-hak raja, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.
Fungsi Yang di-Pertuan Agong
Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Perkara 40 (1) (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka Baginda ialah ketua negara tetapi bukan ketua kerajaan. Kuasa eksekutif yang diberi kepada baginda adalah terhad tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang diberi dan yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara melantik Perdana Menteri (Perkara 43(1). Dalam membuat lantikan itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memastikan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat di Parlimen (Perkara 43 (2) (a)).
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri. Seri Paduka Baginda juga mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihat oleh Perdana Menteri. Hal ini kerana kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong (Perkara 40 (2) (b)).
Seri Paduka Baginda juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat seperti diperuntukkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Namun perisytiharan ini tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolak permintaan
2
tersebut. Ini menampakkan bahawa Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa besar dalam perkara tersebut.
Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta peribumi Sabah dan Sarawak di samping kepentingan komuniti lain (Perkara 153(1)).
Dalam memberi pingat dan darjat, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa mutlak memandangkan perkara ini tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berhubung bidang kehakiman, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi tertentu antara lain merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan Perlembagaan (Perkara 130).
Seri Paduka Baginda juga berfungsi melantik hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara (Perkara 122B). Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung hakim-hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 125). Seri Paduka juga mempunyai kuasa melantik ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-undang (Perkara 138).
Perkara yang berkaitan hal ehwal agama Islam adalah terletak secara eksklusif di bawah kuasa sultan dan Yang di-Pertuan Agong negeri yang tiada sultan. Pelantikan hakim di mahkamah syariah di samping mufti dibuat oleh sultan bagi negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Ini termasuk Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Hal-hal berkaitan pentadbiran masjid, pentauliahan guru agama dan pendakwah hendaklah mendapat perkenan sultan dan Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka dan raja-raja Melayu berperanan membawa hala tuju pembangunan agama Islam di Malaysia.
Sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak), Yang di-Pertuan Agong berfungsi memastikan hal ehwal agama Islam berjalan lancar terdengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri-negeri/Wilayah Persekutuan demi membantu dan menasihati baginda dalam semua urusan berkaitan (Perkara 3(5), 3(3) dan 3(5)).
Kesimpulannya, sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan penting memastikan pentadbiran negara berada di landasan yang betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) supaya ketua-ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggungjawab.
Meskipun bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keadaan negara stabil dan aman. Tanpa prejudis, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan kestabilan negara terjamin (Perkara 150(1)).

[thumbnail of PB2016082374.pdf] Text
PB2016082374.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Click to Download (316kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
300 Social sciences > 340 Law
300 Social sciences > 340 Law > 341 Law of nations
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Utusan Malaysia
Date: 4 June 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Languages: Malay
Edit Item Record
Edit Item Record