Abstract
Setiap hamba Allah mengharapkan doanya sentiasa dimakbulkan. Doa ialah kekuatan dan senjata bagi orang yang benar imannya. Seseorang yang berdoa perlu tahu adab ketika berdoa kepada Allah SWT. Doa yang terbaik ialah doa yang dilakukan pada setiap masa dalam keadaan tanpa jemu untuk memohon kepada-Nya. Ini kerana setiap daripada kita sentiasa berhajat dalam kehidupan di dunia ini. Namun begitu keperluan hajat manusia sudah pasti menginginkan kehidupan yang kekal untuk bahagia di akhirat nanti.
Bagi tujuan memohon segala keperluan dan hajat, maka Islam menganjurkan kepada umatnya untuk berdoa dengan kaedah yang terbaik sesuai dengan perintah Allah SWT. Antaranya ialah memohon kepada Allah SWT dengan penuh rasa tawaduk iaitu merendah diri ketika berdoa. Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raaf ayat 55)
Sifat tawaduk adalah sifat yang terpuji dan sangat disukai oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya lebih-lebih lagi apabila seseorang hamba merasai sifat kehambaan di dalam jiwanya ketika berdoa dan meletakkan pergantungan yang kuat kepada Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Besar.
Setiap hamba Allah perlu mengakui akan kekurangan dan kelemahan diri masing-masing. Segala yang dimiliki hakikat sebenarnya adalah milik Allah SWT. Kita semua adalah hamba Allah yang tidak memiliki sesuatu pun melainkan apa yang dipinjamkan Allah SWT kepada kita di atas muka bumi ini. Jelas di sini, kita perlu sentiasa ingat dan sedar dengan penuh keinsafan bahawa apabila insan berdoa dan menadah tangan, kita perlu merasai diri adalah terlalu kerdil dan sangat lemah bahkan sangat mengharapkan permintaan doa kita dimakbulkan Allah SWT kerana keyakinan kita bahawa Dia lah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-Nya. Bertepatan dengan maksud yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam dirimu dengan merendah diri dan dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang serta janganlah engkau menjadi daripada orang yang lalai." (Surah al-A'raaf ayat 205)
Untuk itu, menjadi kelaziman seorang Muslim untuk terus berdoa kepada Tuhannya tanpa sedikit pun lalai terhadap tuntutan untuk berdoa. Ini adalah disebabkan kita meyakini dengan sangkaan yang kuat tanpa sedikit pun meragui terhadap doa yang dimohon kerana yakin dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."(Surah al-Ghafir, ayat 60).
PB2022144150.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.
Click to Download (519kB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Subjects: | 200 Religion |
Campuses: | Perlis |
Divisions: | Faculties > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
Newspaper: | Harian Metro |
Date: | 22 September 2022 |
Depositing User: | Bahagian Sumber Bercetak 2 |