Jadikan masjid mesra, selesa kepada komuniti setempat


Abstract

PERKARA pertama yang perlu diberikan perhatian di masjid melibatkan sikap ahli jawatankuasa (AJK) dan jemaah. Perkara lain berkaitan kemudahan infrastruktur serta program berkaitan pendidikan serta pembangunan komuniti yang lebih praktikal yang perlu disediakan di situ.

AJK dan jemaah perlu terlebih dahulu mempunyai perwatakan yang mesra dan mempamerkan akhlak yang baik. Kemesraan dan akhlak baik yang wujud sesama jemaah akan membantu memudahkan proses menyantuni masyarakat setempat serta dapat menjalinkan tali persahabatan yang mantap dengan komuniti.

Keharmonian yang terjalin mampu menjadikan komuniti setempat berasa diri mereka dihargai dan diberi layanan yang mesra oleh pihak masjid ketika hadir ke rumah ibadat berkenaan.

Di samping itu, penduduk dapat memanfaatkan fungsi masjid dengan program berkaitan pendidikan, keagamaan, kaunseling serta mampu memperkasakan fungsi dan peranan masjid dengan lebih berkesan.

Selain daripada itu, kemudahan infrastruktur masjid juga perlu mesra kepada kanak-kanak, remaja, warga emas, wanita, orang kurang upaya, musafir, gelandangan, golongan transgender yang memerlukan khidmat bimbingan dan nasihat, mangsa keganasan rumah tangga yang mengharapkan perlindungan hatta komuniti bukan Islam yang ingin mendalami tentang agama berkenaan.

Ruang khusus perlu diwujudkan bagi menarik pelbagai lapisan komuniti untuk hadir ke masjid sebagai satu strategi bagi mengupayakan fungsi rumah ibadat itu sebagai tempat yang mesra dan selesa.

Contohnya, ruang khas perlu disediakan bagi kanak-kanak dan remaja membuat aktiviti pembelajaran dan pengajaran melalui kelas-kelas tambahan yang boleh dilaksanakan di masjid.

Ruang khas itu juga boleh digunakan bagi memberi kaunseling kepada kumpulan yang terjebak dengan masalah sosial dengan harapan mereka akan berubah.

Pelaksanaan pelbagai program kerohanian mahupun pembangunan komuniti perlu dianjurkan secara tersusun dan berkala kerana dapat memberikan kesan positif kepada komuniti setempat.

Justeru, transformasi sesebuah masjid perlu dilakukan segera dan tidak tertumpu hanya tempat beribadah semata-mata tetapi menjadikannya mesra dan selesa untuk semua komuniti. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

[thumbnail of PB2022144152.pdf] Text
PB2022144152.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Only UiTM students and staff can get the full text of the article by clicking on request a copy. A copy of the full text will be sent via the applicant's email.
Click to Download (3MB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 200 Religion
Campuses: Perlis
Newspaper: Utusan Malaysia
Date: 23 September 2022
Depositing User: Bahagian Sumber Bercetak 2
Edit Item Record
Edit Item Record