'Mahkamah media' boleh sebabkan pesalah terlepas


Abstract

ISU berkaitan pembelian dan penjualan tanah Taman Manggis di Pulau Pinang antara Lim Guan Eng dan Datuk Abdul Rahman Dahlan nampaknya semakin panas.

Kini isu itu diheret ke sesi perdebatan secara langsung di lensa televisyen. Dijangka akan diadakan Selasa ini selepas beberapa 'siri penangguhan'.
Tetapi semalam rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) memutuskan untuk menunda debat itu selepas mengambil kira nasihat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.

Perdebatan yang dicadangkan sebenarnya berhubung dengan penjualan tanah Taman Manggis di Pulau Pinang yang pada mulanya diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik, dijual kepada syarikat lain untuk pembangunan komersial.
Isu tanah Taman Manggis juga berkait dengan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn yang dikatakan di bawah nilai pasaran.
Abdul Rahman selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum itu mengajukan cabaran debatnya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana sudah dijual kepada pihak ketiga.

Kedua-dua pemimpin ini sebenarnya sering berdebat di Twitter, malah diketahui umum melalui media sosial, selain masing-masing mendakwa ada 'fakta' dan 'dokumen' untuk membuktikan dakwaan mereka.

Persoalannya, perlukah semua ini? Kalau dibuat perdebatan secara langsung dan dipancarkan ke seluruh dunia sekali pun, tidak mendatangkan apa-apa faedah dalam pendakwaan. Mungkin masing-masing akan mendapat laba politik.

Hakikatnya jika diteliti mungkin juga akan merugikan parti politik jika salah perkiraannya. Kalau diimbau beberapa kes sebelumnya yang membabitkan pemimpin parti berkait dengan pembelian rumah, ia berakhir dengan perbicaraan di mahkamah. Mahkamahlah yang menentukan kebenaran.

Ia bermaksud jika ada bukti, cukup bahan dakwaan, heret sahaja ke mahkamah. Tanpa perlu ada 'mahkamah media' yang mungkin akan menyebabkan masalah teknikal pihak yang tertuduh boleh terlepas.

Apatah lagi kes penjualan tanah Taman Manggis sedang dalam siasatan SPRM hasil laporan oleh rakyat sendiri. Tindakan penganjuran debat di televisyen hanya akan mengganggu siasatan secara menyeluruh.

Beri peluang SPRM siasat

Sebenarnya isu ini perlu diselesaikan menerusi penyiasatan, bukannya dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat dan mungkin menjejaskan siasatan pihak berwajib. Seperti biasa penyiasatan perlu menyeluruh, lengkap dan memerlukan bukti yang sahih.

Biarlah SPRM dan pihak berwajib diberikan ruang menjalankan tugas siasatan dengan tenang tanpa tekanan. Mungkin mengambil masa kerana ia bersifat profil tinggi.

Namun jangan pula dipersalahkan SPRM kerana lewat membuat siasatan dan pertuduhan yang mematuhi prosedur ketat dan bersistematik. Namun sejak akhir-akhir ini, seperti wujud agenda pihak tertentu yang melontarkan pelbagai tohmahan terhadap SPRM untuk kepentingan tertentu
Harapan tinggi rakyat

Sebagai badan yang menegakkan keadilan di Malaysia, SPRM perlu telus, berintegriti dalam menjalankan tugas tanpa perlu desakan mana-mana pihak.

Selaras dengan visi, menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia, membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan perlulah dilakukan dengan bebas, telus dan profesional.

Jika segelintir pihak yang kurang memahami prosedur dan tugas SPRM, maka badan ini sering terganggu dengan pelbagai masalah teknikal ketika membuat siasatan. Namun harapan tinggi yang diletakkan oleh rakyat terhadap SPRM dalam menegakkan keadilan adalah cabaran dan semangat untuk terus membanteras rasuah di negara ini

[thumbnail of PB2016066077.pdf] Text
PB2016066077.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.

Click to Download (251kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
300 Social sciences > 340 Law
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Berita Harian
Date: 18 April 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Edit Item Record
Edit Item Record