UMNO-PAS perlu cari formula demi pengukuhan Islam


Abstract

SUNTIKAN kelangsungan bangsa dan pengukuhan Islam di negara ini perlu diperhalusi. Pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik dengan jelas menegaskan bahawa kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan bersama kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Walaupun beberapa usaha telah sekian lama dibuat dalam bentuk muzakarah, perbincangan, forum atau secara bersemuka pemimpin kedua parti besar Islam ini, namun masih lagi tidak menemukan titik pertemuan.

Beberapa formula perlu diperinci. PAS boleh bernaung sebagai parti politik komponen di bawah Barisan Nasional (BN). Ataupun wujudnya kerajaan campuran. Semua resipi ini jika dilakukan perlu difikirkan natijahnya demi menguatkan Islam dan menyemarakkan lagi semangat roh kesungguhan bangsa.

Mengimbau kembali 'perbalahan' UMNO-PAS, terlalu banyak kisah yang cukup mengecewakan umat Melayu Islam sejak dahulu lagi. Persoalan tuduh menuduh, kafir-mengkafir, cerai-berai kerana perbezaan parti politik dan pelbagai lagi insiden politik, sudah cukup untuk kita insafi, bahawa seolah-olah parti politik menyebabkan perpecahan. Hilangnya kewarasan berfikir dan kita sering diigau dengan momokan politik sehingga kita terlupa bahawa orang Melayu UMNO mahu pun PAS adalah sesama Islam dan bersaudara.
Cuba kita ambil iktibar di beberapa negara Arab yang bergolak, dek kerana perbezaan fahaman sehingga berlakunya perang saudara. Sanggup berpisah, berperang dan lebih dahsyat sanggup berbunuhan sesama mereka. Ramai menganggap ini agenda Barat yang mengadu domba, menghasut dan mempunyai agenda tersembunyi sehingga Islam bermusuhan dan lemah. Namun apa pun, yang menentukan adalah pemimpin dan umat Islam sendiri. Apabila begitu taksub, Islam semakin lemah dan hancur.
Adakah perkara yang sama akan berlaku di Malaysia? Jika perpaduan dan kesatuan Islam tidak lagi menjadi keutamaan, maka mungkin apa yang berlaku di negara Arab akan menular ke negara ini. Kalau tidak pun 'teguran' Dr Zakir umat Islam di Malaysia yang berbeza parti politik ini sepatutnya dalam apa juga upaya mencari formula, resipi dan prinsip yang jelas, tanpa berputus asa, agar orang Melayu Islam bersatu.

Kedua-dua parti UMNO - PAS kini perlu terus berkomunikasi dan mengutamakan kedudukan Islam di Malaysia. Pada masa sama 'longgarkan' persoalan perjuangan dan prinsip. Mereka masih boleh mengekalkan produk parti dan identiti masing-masing. Demi kemaslahatan dan mengukuhkan ukhuwah Islam, dan sampai masanya ketepikan 'keegoan' dan ketaksuban. Jangan lagi memikir dan membuktikan mana parti yang lebih Islamik.

Bagaimanapun mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran. Telahan ini telah diduga sejak dahulu dan menyebabkan misi penyatuan ini menemui jalan buntu. Pada masa sama, UMNO-BN juga perlu mendapatkan kemahiran bagi menangani rakan komponen yang perlu terus diberikan keutamaan.

Penyatuan perlu demi Islam

Walhal dalam banyak perkara, sama ada Islam dalam UMNO dan PAS tetap sama dan tidak bertentangan. Namun, kerana perjuangan parti politik, banyak polemik dan kes seperti wujud perselisihan dalam menentukan sesuatu dasar, hukum mahupun amalan dalam Islam? Di mana silapnya? Sehingga pendakwah luar seperti Dr Zakir, boleh mengangkat persoalan penyatuan ini sebagai agenda yang perlu dilakukan demi umat Islam dan di rantau ini.

Pada masa sama, kita perlu mengambil iktibar bahawa lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai politik dalam Islam kepada orang Islam dan bukan Islam bagi menghapuskan sebarang salah faham mereka mengenai Islam itu sendiri.
Memang benar bahawa Islam juga mencakupi persoalan politik. Namun janganlah kerana perbezaan fahaman dan anutan dalam parti politik, sesama Islam terus berbalah bak api dalam sekam. Apabila menjelang pilihan raya sahaja, kedua-dua parti ini ibarat seteru dan bermusuhan.

Akan lebih malang lagi mereka yang tidak matang berpolitik akan terus berpolemik dan sentiasa mencari kesalahan masing-masing. Persoalannya adakah ini cara kita berpolitik cara Islam?

[thumbnail of PB2016066075.pdf] Text
PB2016066075.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Click to Download (281kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
300 Social sciences > 320 Political science
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Berita Harian
Date: 23 April 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Languages: Malay
Edit Item Record
Edit Item Record