Misi Tun Mahathir, PAS, Amanah berbeza


Abstract

SEPERTI diduga, PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertembung untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, 18 Jun nanti.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menegaskan partinya akan tetap meletakkan calon di kedua-dua kerusi, disusuli kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang bertekad bahawa inilah masa untuk partinya masuk gelanggang pilihan raya bagi menduga sokongan rakyat.
Walaupun beberapa pemimpin PKR cuba berunding dengan PAS bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu di antara pembangkang dengan BN di kedua-dua kerusi, ia menemui jalan buntu.
Sebaliknya, perbincangan itu pula mendedahkan 'ketidakserasian' di antara Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat yang dibentuk sebelumnya. Pandangan Presiden PAS nyata memberi isyarat bahawa parti itu boleh bersendirian untuk meraih sokongan orang Melayu dan Islam tanpa perlu ada Pakatan Harapan.
Malah Pakatan Harapan di Selangor yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS suatu ketika dahulu, pernah 'meminggirkan' PAS dalam menentukan calon di PRK Kajang sehingga mencetuskan polemik politik berpanjangan. Jadi, kenapa pula kali ini PAS perlu berunding dan bertolak ansur, sedangkan parti itu sudah lama bergelumang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Sebenarnya, tiada yang ganjil dan mustahil dalam percaturan calon. PAS sudah bertanding sekian lama di kedua-dua kerusi itu, malah pada PRU-13 lalu, calonnya hampir merampas Sungai Besar daripada BN apabila tewas dengan perbezaan hanya 399 undi.
PAS mesti memahami bahawa sebagai pakatan yang baharu, rundingan ketika pembangkang bergabung di bawah Pakatan Rakyat dan juga Pakatan Harapan adalah berdasarkan parti politik, bukan atas kapasiti individu.
PRK ujian sokongan
Bagi Amanah, parti itu seharusnya menjadikan PRK kali ini ujian mengenai sokongan atau 'test the water'.
Kemelut di antara PAS dan Amanah akan mendapat jawapannya dengan mengadu kekuatan pada PRK seperti ini, gunakan untuk menyusun strategi menjelang PRU-14 nanti.
Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pertandingan satu lawan satu di antara calon pembangkang atau apa yang dilabelnya 'calon rakyat' dengan BN pada dua PRK ini, ia tidak diendahkan oleh PAS mahupun Amanah. Ternyata misi deklarasi rakyat tajaan Dr Mahathir tidak selaras dengan misi PAS dan Amanah.
PAS juga kelihatan 'terguris' dengan kenyataan yang meragui parti itu, kenyataan yang bimbang akan berlaku 'pengkhianatan' oleh PAS yang mungkin menarik diri dan memberi kemenangan percuma kepada BN.
Apa yang nyata, BN bersedia untuk menghadapi mana-mana parti politik pada PRK ini dengan tradisi membela nasib rakyat dan mengutamakan rakyat menjadi misinya tanpa mengira persoalan kepartian.
Walaupun PRK ini dikatakan ujian yang akan menggambarkan sokongan rakyat pada PRU-14 nanti, faktor isu dan sentimen juga sentiasa berubah dan dinamik.
Maka, sebagai peluang dan ruang untuk menduga sokongan, tidak menjadi masalah sekiranya PAS, Amanah, BN, malah PKR bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

[thumbnail of PB2016066073.pdf] Text
PB2016066073.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Only UiTM students and staff can get the full text of the article by clicking on request a copy. A copy of the full text will be sent via the applicant's email.
Click to Download (238kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences > 320 Political science
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Berita Harian
Date: 26 May 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Edit Item Record
Edit Item Record