Abstract
SEDAR atau tidak, separuh daripada bulan Ramadan
sudah berlalu. Kini, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri mula dirasai di seluruh negara. Sudah pasti, ramai orang berkira-kira untuk membuat persiapan menyambut hari raya. Anak-anak sudah semestinya mahukan pakaian baharu manakala kaum ibu sedang membuat persiapan terutamanya berkaitan juadah yang akan dihidangkan kepada tetamu. Kemeriahan Aidilfitri pasti menjadi lebih bermakna bagi individu yang merancang
perbelanjaan. Sebaliknya, individu yang tiada perancangan kewangan dengan baik, mereka pasti akan tertekan memikirkan bajet Aidilfitri. Dalam senario ekonomi yang
kurang memberangsangkan ketika ini, kita dituntut agar
lebih berjimat cermat bagi memastikan Aidilfitri disambut
penuh kemeriahan. Namun, perancangan kewangan dan
kaedah pengurusan perlu diberi perhatian. Kawal nafsu
Baik mereka yang berkeluarga mahupun yang masih bujang,
isu perbelanjaan berhemah bukan lagi menjadi bahan berita
yang ditonton di televisyen atau dibaca di akhbar sebaliknya perlu dipraktikkan mulai sekarang. Apabila kita membicarakan tentang persiapan Aidilfitri, pasti sukar untuk mengelak keinginan berbelanja yang mungkin didorong keseronokan
kemeriahan meraikan Syawal. Selepas sebulan berpuasa,
mengawal nafsu dan mengerjakan amal ibadat, hati
kita tentunya mahu menikmati kemeriahan hari yang mulia itu.
Bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen tinggi, ia
merupakan satu bonus kerana isu perbelanjaan mungkin tidak
menjadi soal. Apa sahaja yang dihajati boleh dibeli asalkan menepati perbelanjaan yang dirancang tetapi bagaimana pula keadaan mereka yang berkeluarga besar?
Ibu bapa yang memiliki anak ramai tentu pening memikirkan
soal bajet Aidilfitri. Bagi mereka yang bijak merancang perbelanjaan, modal atau wang untuk sambutan hari raya
mungkin sudah dikumpul sejak tahun lalu. Contohnya, jika sebanyak RM150 disimpan setiap bulan selama setahun, insya-Allah ia pasti cukup untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan Aidilfitri kali ini. Mungkin persoalan
perbelanjaan yang menjadi isu utama bagi keluarga besar
akan menjadi lebih mudah dan teratur. Pengguna yang membuat persiapan Aidilfitri tidak seharusnya terpengaruh dengan corak perbelanjaan rakan atau jiran. Ini kerana, tahap kewangan dan tanggungan masing-masing berbeza.
Seseorang individu harus berbelanja mengikut kemampuan
dan bukan bertujuan untuk bersaing atau menunjuk-nunjuk
kepada orang lain kerana sikap boros tidak digalakkan dalam
Islam. Namun, jika kita bijak merancang perbelanjaan, Aidilfitri masih boleh diraikan dengan suasana penuh meriah tanpa menghadapi tekanan kewangan. Kepada mereka yang suka
membuat persiapan pada saat saat akhir, berhati-hati ketika
membelanjakan wang anda. Pembaziran Perbelanjaan pada saat-saat akhir boleh membawa kepada pembelian yang tidak terancang dan berlaku pembaziran. Kita perlu sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa sebahagian besar daripada pembelian didorong oleh naluri dan nafsu. Individu yang membuat persiapan raya perlu mengelakkan diri daripada
melakukan pembelian secara spontan ketika membeli-belah.
Walaupun terdapat barangan yang nampak menarik di depan
mata, fikirkan secara mendalam sama ada kita benar-benar
memerlukannya sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan tersebut. Dalam merancang perbelanjaan raya, setiap individu pasti mempunyai cara dan kaedah yang tersendiri. Tiada masalah bagi yang berkemampuan manakala
golongan paling beruntung ialah mereka yang merancang
perbelanjaan dan bersedia lebih awal. Namun, bagi individu yang terlupa atau tidak berpeluang membuat tabungan lebih awal, golongan ini sedang runsing memikirkan bagaimana hendak menyambut Aidilfitri yang semakin menghampiri.
Sejak beberapa tahun lalu, ramai individu yang mulakan
langkah bijak dengan berniaga secara kecil-kecilan bagi
menampung persiapan Aidilfitri. Ini adalah langkah bijak
yang amat positif dalam merencana persiapan Aidilfitri
yang mungkin berada di luar perbelanjaan bulanan. Kemudahan bazar Ramadan yang berkembang seperti
cendawan tumbuh selepas hujan itu membuka peluang kepada mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan bagi menampung persiapan Aidilfitri. Tidak kurang juga individu yang menceburkan diri dalam bidang pembuatan biskut dan kuih-muih raya serta menyediakan perkhidmatan
jahitan pakaian. Dua industri ini ada yang memberi pulangan amat tinggi dalam mengisi kemeriahan Aidilfitri. Tidak dapat dinafikan, berniaga secara kecil-kecilan pada bulan Ramadan membuka peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menambah sumber pendapatan, sekali gus memudahkan mereka membuat persiapan hari raya.
Akhir kata, berbelanja pada yang perlu, merancang sebelum
bertindak dan jangan membazir agar kewangan selepas Aidilfitri tidak terjejas
PB2016066069.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only
Only UiTM students and staff can get the full text of the article by clicking on request a copy. A copy of the full text will be sent via the applicant's email.
Click to Download (1MB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Subjects: | 300 Social sciences 300 Social sciences > 330 Economics 300 Social sciences > 330 Economics > 332 Financial economics |
Campuses: | Kelantan Kelantan > Kota Bharu Campus |
Newspaper: | Kosmo |
Page Range: | p. 24 |
Date: | 22 June 2016 |
Depositing User: | Aida Mustapha (Kota Bharu) |
Related URLs: |