Wartawan asing perlu patuhi peraturan, etika


Abstract

TIADA yang aneh mengenai tindakan menghalang dan menahan dua wartawan asing yang melanggar peraturan ketika membuat liputan dan mendapatkan berita. Tindakan menghalang wartawan daripada mendekati pemimpin utama negara dilakukan berasaskan faktor keselamatan. Ia adalah prosedur biasa.

Rentetan dua warga negara Australia, Eroglu Levent dan Linton Joshua Besser yang merempuh kawalan keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Haji Baki, di Kota Sentosa dekat Kuching malam Sabtu lalu, perlu difahami kewajarannya.

Tiada layanan istimewa kepada wartawan asing. Seperti wartawan tempatan, semua ada had dan batasan. Demi keselamatan adalah lebih baik langkah pencegahan dilakukan oleh pihak berkuasa. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Apa pun boleh berlaku dan di luar jangkaan.

Malah, tindakan mengarah keluar wartawan berkenaan dari negara ini, dibuat mengikut Seksyen 8(3)(h) Akta Imigresen 1959/63. Wartawan terbabit telah mengingkari arahan polis supaya tidak melepasi kawalan keselamatan ketika lawatan Najib ke masjid Kampung Haji Baki, dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Penahanan dan pengusiran wartawan itu, tidak bermakna negara ini tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Malah, lebih ramai wartawan asing yang membuat temuramah dan liputan berita saban hari, membuktikan bahawa kebebasan media masih subur diamalkan di negara ini.

Parti politik ambil kesempatan

Namun, yang menghairankan, parti politik tertentu menjadikan isu ini sebagai sensasi dan laba politik, sedangkan kes sama sering berlaku kepada wartawan tempatan yang dihalang oleh pihak berkuasa apabila membabitkan faktor keselamatan, tidak diambil pusing oleh mereka. Lalu kita pun bertanya What is so special about foreign press?'

Wartawan asing tidak boleh sekadar masuk ke negara ini dan menganggap mereka boleh membuat kerja tanpa melihat peraturan, khususnya berkaitan soal imigresen. Wartawan Australia itu dihantar pulang selepas pihak berkuasa membuat siasatan dan memutuskan tidak mendakwa mereka. Ini perlu difahami semua pihak bahawa prosedur keselamatan perlu diutamakan bagi menjamin keamanan negara ini.

Sebagai golongan berpengaruh, wartawan mempunyai etika profesionnya untuk dijadikan panduan dalam menjalankan tugas dengan rasa disiplin dan tanggungjawab. Namun, itu tidak bermakna wartawan bebas sesuka hati dalam mendapatkan berita sehingga melanggar arahan dan peraturan.

Menurut Etika Kewartawanan, perkara 3 menyatakan bahawa wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen. Begitu juga perkara 8 pula jelas menunjukkan bahawa wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

Wartawan luar yang membuat liputan perlu memahami dan mematuhi peraturan negara ini. Mereka tidak boleh mengamalkan prinsip negara mereka yang bersifat 'liberal' dan kadang-kadang bertentangan dengan peraturan dan protokol sesuatu majlis.

Hormati peraturan setempat
Sehubungan itu, kebanyakan acara atau majlis keraian akan memberi peluang dan ruang kepada wartawan bertanya ketika sidang media. Itu pun jika penganjur memberi persetujuan. Maka, semua wartawan tanpa mengira taraf dan status hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen. Menurut Institut Akhbar Malaysia, pelbagai cara boleh digunakan untuk mendapatkan berita selagi cara yang dijalankan itu wajar dan untuk kepentingan orang ramai.

Wartawan yang menyamar ketika mencari berita perlu menghormati batas kesopanan dan kuasa undang-undang. Menyamar sebagai pegawai polis atau tentera atau doktor bukan cara yang wajar kerana profesion yang disamari mempunyai bidang kuasa dan peraturan tertentu bagi penyandangnya.

Ketika bertugas, wartawan hendaklah memperkenalkan diri dan nama akhbar yang diwakili, sama ada ia diminta berbuat demikian atau tidak. Tujuannya untuk memberi keyakinan kepada orang yang ditemui supaya sedar bahawa mereka berdepan dengan wartawan ketika membuat keterangan.

Perbuatan menyamar diri kadang kala dilakukan wartawan apabila bertugas membuat laporan penyiasatan dan menghadapi kesulitan untuk mendapat fakta yang perlu dan penting bagi melengkapkan kandungan laporannya. Banyak berita yang menggemparkan, dihasilkan oleh wartawan secara menyamar.

Wartawan mempunyai hak yang sama seperti orang ramai. Kesalahan menceroboh kawasan (trespassing), misalnya, meliputi semua orang, termasuk wartawan, kecuali mereka yang diberi kebenaran.

Wartawan juga perlu memahami bahawa mereka juga seperti orang ramai, tanpa kebenaran khas dan bergerak bebas di kawasan tertentu mungkin kerana pihak berkuasa menghargai peranan media untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada orang ramai.

Namun, pihak berkuasa boleh menghalang wartawan memasuki kawasan larangan jika dirasakan perlu.

[thumbnail of PB2016064935.pdf] Text
PB2016064935.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only

Click to Download (247kB) | Request a copy
Item Type: Newspaper
Subjects: 300 Social sciences
300 Social sciences > 340 Law
Campuses: Kelantan
Kelantan > Kota Bharu Campus
Newspaper: Berita Harian
Date: 18 March 2016
Depositing User: Aida Mustapha (Kota Bharu)
Related URLs:
Languages: Malay
Edit Item Record
Edit Item Record