Abstract
KEMELUT kepemimpinan UMNO Kedah akhirnya selesai apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan serta-merta selepas menerajui Wisma Darul Aman sejak Barisan Nasional (BN) merampas Kedah daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menerima hakikat bahawa beliau hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Selasa lalu, akhirnya Mukhriz memilih cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini.
Sesuatu yang harus dipuji dan membanggakan ialah tindakan Mukhriz memilih kekal setia bersama UMNO. Meletak jawatan sebagai Menteri Besar tidak sedikit pun meluntur kesetiaan kepada parti, malah beliau berjanji terus berkhidmat sebagai wakil rakyat serta meneruskan legasi kepemimpinan bersama UMNO sebagai wadah perjuangan politiknya.
Inilah contoh teladan yang Mukhriz sampaikan kepada ahli UMNO khasnya di Kedah menutup kemelut ini. Krisis ini boleh diandaikan sebagai proses pertukaran juragan bahtera. Siapa pun juragannya, matlamat utama tetap sama, iaitu memastikan bahtera dan muatan selamat ke tempat dituju.
Dalam hal ini, UMNO Kedah perlu bergerak segera memastikan krisis kepemimpinan ditamatkan dengan memberi peluang dan sokongan kepada juragan baharu. Pertukaran pemimpin sahaja tidak cukup kerana hakikatnya rakyat yang menentukan jatuh bangun sesebuah pentadbiran negeri menerusi pilihan raya.
Pertukaran pemimpin tidak beri sebarang makna sekiranya UMNO-BN Kedah kalah pada pilihan raya. Kedudukan hampir seimbang dari segi peratusan undi PRU-13. BN raih 52 peratus, manakala pembangkang 48 peratus di samping dapat majoriti dua pertiga DUN Kedah menerusi 21 kerusi berbanding 14 oleh pakatan pembangkang, margin undi yang diterima kedua-dua parti relatifnya kecil.
Selesai segera cabaran
Harus juga diingat, dalam mana-mana pilihan raya, isu peringkat negeri dan nasional sama banyak mempengaruhi pola pengundian. Dalam krisis kepemimpinan Kedah kali ini, ia dibaca pemerhati politik sebagai isu negeri dan nasional secara bersama. Dikhuatiri ia memberi impak buruk kepada UMNO-BN di Kedah, malah UMNO-BN pada peringkat nasional. Kepemimpinan baharu UMNO-BN Kedah yang bakal dipimpin Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah harus menyelesaikan beberapa cabaran sebaik sahaja sah menerajui.
Pertama, beliau harus merapatkan kembali barisan kepemimpinan UMNO Kedah, segera merangka strategi baharu menerusi kerjasama erat dengan warga Wisma Darulaman dalam memacu kemajuan dan pembangunan di negeri Kedah dan ketiga pengalaman luas Ahmad Bashah dalam politik Kedah adalah aset utama beliau.
Justeru, cabaran pertama bagi merapatkan barisan kepemimpinan UMNO Kedah pasca- Mukhriz mampu beliau tangani. Dengan sokongan tidak berbelah-bahagi Ketua UMNO Bahagian sepanjang krisis dan kelibatnya yang disenangi pada peringkat UMNO Pusat dilihat membantu beliau.
Pada masa sama, pengalaman berkhidmat dengan empat Menteri Besar sebelumnya dan lima penggal menjadi wakil rakyat dilihat beri kelebihan buat beliau buat congakan dan percaturan. Justeru, kelebihan inilah yang mungkin menjadi aset pertimbangan pelantikan beliau.
Harus diingat, Ahmad Bashah memiliki semua ramuan yang ada untuk memimpin Kedah. Pengalaman luas dalam politik, sokongan kuat jentera parti negeri dan Pusat menjadi kelebihan. Atas kelebihan ini diharap ia mampu dicanai dengan baik oleh Ahmad Bashah bagi mengembalikan kestabilan politik Kedah dan seterusnya meneruskan kesinambungan kejayaan UMNO menerajui kerajaan negeri.
Beliau membuktikan berkali-kali kepada UMNO negeri sebagai 'calon boleh menang' walaupun bertanding di kawasan dikatakan berisiko untuk BN (DUN Bakar Bata yang diwakili beliau termasuk dalam Parlimen Alor Setar yang selalunya propembangkang).
Namun, cabaran terbesar buat Ahmad Bashah selepas ini ialah mengikis pengaruh Mukhriz dalam UMNO dan kerajaan. Harus diingat kelebihan Ahmad Bashah dalam parti yang kuat tidak berlanjutan ke peringkat rakyat akar umbi dan di Wisma Darul Aman ketika masa semakin suntuk untuk menyiapsiagakan BN negeri menuju PRU-14. Ketika Mukhriz berkuasa, beliau tidak popular dan berpengaruh dalam parti tetapi approval rating beliau dalam kalangan rakyat Kedah, terutama generasi muda dan atas pagar adalah sangat tinggi.
Kenal pasti pemimpin pelapis
Pada masa sama, pendekatan Mukhriz yang santai, bersahaja dan populis disenangi warga Wisma Darul Aman. Elemen inilah diakui pembangkang menjadi aset terbesar Mukhriz. Mengikis pengaruh Mukhriz di Wisma Darul Aman mungkin mengambil masa, tetapi dijangka mampu dilakukan oleh Ahmad Bashah. Dalam hal ini, Ahmad Bashah harus segera mengenal pasti pemimpin pelapis dalam kalangan orang muda dalam UMNO Kedah untuk 'ditarik' ke dalam kepemimpinan beliau supaya UMNO Kedah kekal dilihat relevan dan mampu menyaingi pembangkang.
Apapun, UMNO Kedah khususnya dan UMNO umumnya harus kembali segera bersatu. Harus diingat kekuatan UMNO selalunya dijana menerusi kesetiaan kepada parti dan ketuanya. Kepada Mukhriz, diucapkan jutaan terima kasih atas khidmat dan bakti. Kepada juragan pengganti, didoakan Ahmad Bashah diberi kekuatan untuk meneruskan kepemimpinan dan tradisi membela rakyat.
PB2016064733.pdf - Published Version
Restricted to Registered users only, you request a copy.
Click to Download (156kB) | Request a copy
Item Type: | Newspaper |
---|---|
Subjects: | 300 Social sciences 300 Social sciences > 320 Political science |
Campuses: | Kelantan Kelantan > Kota Bharu Campus |
Newspaper: | Berita Harian |
Date: | 4 February 2016 |
Depositing User: | Aida Mustapha (Kota Bharu) |
Related URLs: |